Politik dan negara sebahagian daripada Islam

By ilmuislam2u

   Islam berbeza dengan ta’rif agama menurut orang-orang yang bukan Islam,kerana perkataan agama menurut mereka ialah ajaran yang berkaitan dengan perkara-perkara kerohanian dan akhlak semata-mata dengan memberi penekanan kepada syiar ibadat dan perkara-perkara yang berkaitan dengan kerohanian dan budi pekerti manusia,tetapi Islam seperti yang dinyatakan di dalam ajarannya daripada al-Quranulkarim,sunnah Rasul SAW dan pandangan ulama’-ulama’ muktabar dikalangan salaf dan khalaf yang mencakup dalamnya segala aspek yang ada dalam fitrah manusia dan keperluan mereka dalam segala bidangnya,dalam hubungan manusia dengan Tuhannya,dengan dirinya,keluarganya,individu dan masyarakat,rohani dan jasmani,pemimpin dan rakyat,damai dan perang,bahkan hubungan manusia dengan makhluk-makhluk yang lain yang mempunyai hubungan dengan kehidupan manusia di dunia dan akhirat.

   Maka kedatangan Islam dari Allah SWT Tuhan Pencipta Alam dan Yang Maha Mengetahui apakah yang baik dan paling baik disamping rahmat-Nya yang tidak terhingga itu tidaklah ajaran-Nya itu dalam aspek aqidah yang benar semata-semata,tetapi terpancar daripadanya segala tindak-tanduk yang berkaitan dengan syiar ibadah hanya kepada Allah SWT tetapi juga menyebut dan memerintah kepada akhlak yang baik,yang perlu dalam kehidupan manusia dalam segala aspeknya,dengan disertakan syariat yang bijaksana lagi adil yang mengatur,mentadbir dan menghukum kegiatan-kegiatan hidup manusia dalam hubungannya dengan semua perkara yang tersebut di atas ,oleh itu maka Islam menyentuh perkara-perkara yang mereka namakan agama dan perkara-perkara dunia.

Leave a Reply