Perkara siyasah syariah yang berbangkit daripada kewajipan khalifah yang telah ditetapkan oleh Allah SWT kepada manusia di atas muka bumi merupakan bidang yang sangat penting dan dilupakan oleh orang Islam di zaman mutakhir ini akibat malapetaka serangan pemikiran oleh musuh-musuh Islam ke atas umat Islam.Betapa kesan meninggalkan perkara ini bukan sahaja terhadap tanah air umat Islam dan segala isinya dijajah tetapi juga menjadi hina di dunia dan kalau terlanjur maka hina pula di akhirat.Mudah-mudahan kita dilindungi Allah-keadaan ini apabila umat Islam meninggalkan agama mereka dalam perkara memerintah negara dan menganut berbagai-bagai ideologi yang asing daripada aqidah,syariah dan akhlak Islam,lalu dilanda masalah disamping gagal mengatasi masalah yang sedia ada.
Sebenarnya ulama’ silam telah menyebut di dalam kitab-kitab mereka yang paling muktabar dengan cara menyelitnya dalam berbagai kitab tafsir, hadis, fekah, tasauf, sejarah dan dengan tajuk khusus seperti al-Ahkamul Sultoniah oleh al-Mawardi dan tajuk yang sama oleh Abu-Ya’la, al-Siasiah al-Syariah oleh Ibnu Taimiyah dan kitab-kitab yang lain di kalangan salaf dan khalaf.Tetapi mungkin menjadi tersembunyi kepada mereka yang tidak dapat menguasai Bahasa Arab,maka sumbangan ini InsyaAllah menjadi sedikit bantuan untuk mengenali ilmu yang telah diabaikan ini.
Mudah-mudahan sumbangan ini diterima oleh Allah menjadi ilmu yang bermanfaat berpanjangan,dan kepada yang lebih arif dapat membetulkan kesilapan sekiranya berlaku kelemahan.Yang betul dan benar itu semuanya dari Allah dan kurnia-Nya.